Africa-Press – Gambia. THE HAGUE: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan pendakwaan kes pembunuhan beramai-ramai oleh Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya boleh diteruskan.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague turut menolak semua bantahan Myanmar terhadap kes yang difailkan Oleh Gambia pada 2019.
Keputusan itu sekali gus membuka laluan kepada pendengaran terhadap dakwaan serangan berdarah oleh Myanmar ke atas Rohingya pada 2017.
Presiden ICJ, Joan Donoghue, berkata tribunal mendapati permohonan dibuat Gambia itu boleh diterima dan berada dalam bidang kuasanya.Ratusan ribu etnik minoriti Rohingya melarikan diri dari Myanmar dalam operasi lima tahun lalu, membawa sekali laporan berhubung pembunuhan, rogol dan pembakaran.
Kira-kira 850,000 etnik Rohingya berlindung di kem di Bangladesh sementara 600,000 lagi kekal di wilayah Rakhine dekat Myanmar.
Myanmar pada asalnya diwakili penerima anugerah Nobel Laureate, Aung San Suu Kyi, namun beliau ‘ditumbangkan’ dalam rampasan kuasa pada tahun lalu dan kini berada dalam tahanan.
Gambia memfailkan kes pada November 2019, mendakwa Myanmar melanggar Konvensyen Pembunuhan Beramai-Ramai PBB 1948 dalam layanannya terhadap Rohingya.
Myanmar mempertikaikan bahawa mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara terbabit dan seharusnya menutup kes berkenaan.
Hakim bagaimanapun menolak hujah Myanmar bahawa Gambia hanya bertindak sebagai proksi kepada 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mahkamah juga sebulat suara menolak dakwaan Myanmar bahawa Gambia tidak boleh memfailkan kes itu kononnya negara terbabit bukan pihak langsung kepada dakwaan pembunuhan beramai-ramai selain Myanmar sudah menarik diri daripada menjadi sebahagian daripada konvensyen PBB itu.
Mahkamah akhirnya menolak dakwaan Myanmar dengan keputusan 15-1 bahawa tiada pertikaian rasmi ketika Gambia memfailkan kes. – AFP
For More News And Analysis About Gambia Follow Africa-Press





